Monday, July 12, 2010
MANTRA ( kisah berkongsi ilmu dengan syaitan )
KISAH benar melibatkan pengamal ilmu hitam dan ajaran sesat di Bandung, Indonesia diterjemahkan secara mendalam dalam Mantra. Ejaan bagi judul filem tersebut juga sengaja dikekalkan kerana perahan idea dan jalan cerita berasal dari tanah seberang itu.
Shahriman Wahap adalah orang yang bertanggungjawab mengkaji kejadian seram itu sebelum diterjemahkan oleh pengarahnya, Azhari Zain. Dia yang juga bertindak sebagai pengarah Santau tidak melakukan sebarang perubahan termasuk jampi serapah dalam bahasa Jawa untuk memuja syaitan.
Cuma lokasi penggambaran sahaja diubah dengan memilih sebuah perkampungan lama yang berusia ratusan tahun di Lenggong, Perak dan Penjara Pudu, Kuala Lumpur sebelum dirobohkan.
Secara dasarnya, Mantra berkait rapat dengan budaya masyarakat setempat yang mempunyai penyakit hasad dengki sehingga mengambil jalan mudah bersekutu dengan syaitan untuk membalas dendam.
Kisah dua sahabat baik iaitu Muzir (lakonan Zul Handy Black) dianiaya oleh Hasbi (Hasnul Rahmat) demi melengkapkan ilmu hitam dan merampas isteri Muzir, Rindiani (Ana Dahlia). Akibatnya, Muzir dipenjara seumur hidup dan bertemu dengan Embah (Rozaidi Abdul Rahman).
Embah menumpahkan seluruh ilmu hitamnya kepada Muzir tetapi tidak sempurna kerana biliknya dikunci dengan kalimah Allah. Kehadiran warden penjara, Pak Long (Hamdan Ramli) memberi sinar kepada penantian Muzir selama 10 tahun apabila dia meminta pertolongan.
Pak Long tidak punya pilihan, lantas bersetuju memenuhi syarat Muzir. Siri pembalasan dendam kesumat Muzir kepada Hasbi bermula satu demi satu setelah ilmu hitam berjaya diserap sepenuhnya.
Jalan cerita Mantra diadun sebegitu cepat bagi menunjukkan bahawa perkongsian ilmu syaitan itu mudah sekiranya manusia kerap mengulang mantera khusus. Terdapat pelbagai versi jampi serapah yang digunakan termasuk bahasa Mandarin, Siam dan India.
Banyak adegan seram ditonjolkan dalam filem yang memakan belanja RM1.5 juta itu kerana menggunakan teknik anamorphic yang mampu membawa penonton masuk ke dalam cerita. Kaedah yang sama digunapakai di kalangan pembikin filem di Barat.
Secara keseluruhan, Mantra yang bakal ditayangkan pada 15 Julai ini mampu membuka minda manusia tentang kepercayaan masyarakat dahulu yang gemar menggunakan khidmat bomoh dan pawang tanpa mengetahui jenis amalan yang digunakan mereka.
Kesedaran timbul pada saat-saat akhir dan pada ketika itu tiada rujukan yang boleh menyelamatkan penderitaan akibat sihir, melainkan pertolongan Allah S.W.T.
Labels:
Movie
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment